Friday, 13 April 2012

pendidikan


Pelajar Yang Kreatif Dan Inovatif

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan Teknologi Pelancaran Roket 2011 Peringkat Kebangsaan (PTPR2011) anjuran Agensi Angkasa Negara. Program tersebut diadakan dengan kerjasama Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Universiti Malaya (UM). SMK Abi telah menerima piala dan pingat gangsa, sijil kecemerlangan, sebuah teleskop Starblast 4.5 EQ Reflector dan Kit DIY Galileoscope. Pertandingan tersebut telah diadakan di Padang Varsiti, UM pada 14 September 2011 yang lalu merupakan suatu kaedah terjemahan penggunaan dan penerapan minat dalam bidang sains angkasa kepada para pelajar dan masyarakat secara amnya. Menurut Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara, Dr Mustafa Din Subari, kreativiti para peserta semakin matang setelah sembilan tahun pertandingan tersebut dilaksanakan. Malah format pertandingan PTPR2011 kali ini meliputi aspek-aspek teknikal seperti pembentangan projek, ketepatan sasaran, payung terjun dan juga aspek berkaitan.
Dr Mustafa Din Subari berkata, selaras dengan Program Penggalakan Sains Dan Matematik 2011 dan Tahun Sains Malaysia 2012 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), beliau berharap pertandingan tersebut dapat membantu para pelajar berfikiran lebih kreatif dan inovatif. Pertandingan yang berlangsung selama tiga hari itu mengehendaki para peserta mereka dan mencipta model roket air dengan menggunakan botol minuman berkarbonat 1.5 liter. Model roket tersebut hendaklah digunakan untuk melakukan beberapa misi pelancaran ke udara. Bagi melancarkan roket, para peserta hanya dibenarkan untuk menggunakan alatan pelancar seta kombinasi tekanan air dan udara. Pemahaman mengenai konsep dan aplikasi sains adalah penting untuk diadaptasi ketika menghasilkan roket tersebut.
Seramai 32 peserta daripada 16 buah pasukan mewakili 13 buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan telah menyertai PTPR2011. Johan telah dimenangi oleh SMK Merchang dan menerima Piala Pusingan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, piala dan pingat emas, sijil kecemerlangan, sebuah Teleskop Astroview 100mm EC Refractor dan Kit DIY Galileoscope. SMK Merchang juga akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Peringkat Asia Pasifik APRSAF-18 Water Rocket Event pada bulan Disember di Singapore. Tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Sungai Besar, Selangor dan membawa pulang Piala Perak dan Pingat Perak, sijil kecemerlangan, sebuah teleskop SpaceProbe 130 EQ Refractor dan Kit DIY Galileoscope. (KK11: 6 September 2011 Oleh: Alina Zaireen Ismail)


Mencari Bakat Baru

Majlis Sukan Negeri Perlis dengan kerjasama Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Perlis (USPTN Ps) dan persatuan Angkat Berat Negeri Perlis telah mengadakan Klinik Asas Angkat Berat bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi. Seramai 20 orang atlet angkat berat dari SMK Abi menyertai Klinik Asas tersebut yang diadakan pada 30 April 2011 sehingga 1 Mei 2011 yang lalu. Klinik yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Pengarah Majlis Sukan Negara Perlis, Muhammad Azahari Ramli. Turut hadir Pengetua SMK Abi, Hasan Ebau Noi dan Pegawai Perhubungan Negeri (PPN) Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis, Mior Zuhry Azim Mior Adnan. Muhammad Azahari Ramli telah berhasrat untuk membangunkan sukan angkat berat melalui program pelapis sebagai satu platform bagi atlet yang telah dikenal pasti maju hingga ke peringkat lebih tinggi bagi mewakili Negeri Perlis ke Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2012 di Pahang.
Seramai dua orang jurulatih yang mengendalikan klinik tersebut telah mengenal pasti lima orang atlet yang berpotensi untuk digilap dan diberikan pendedahan di dalam kejohanan-kejohanan pada masa akan datang. Menurut Mior Zuhry Azim, Klinik Asas Angkat Berat ini diadakan bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru yang berpotensi untuk di ketengahkan bagi mewakili Negeri Perlis dalam acara angkat berat dan seterusnya sehingga ke peringkat negara. Klinik Asas Angkat Berat dimulakan seawal pukul 8.30 pagi dengan taklimat yang disampaikan oleh jurulatih dari Persatuan Angkat Berat Negeri Perlis. Para peserta turut diajar langkah-langkah yang betul untuk melakukan acara angkat berat. Mior Zuhry Azim turut berterima kasih kepada pihak sekolah dan Unit Sukan Prestasi Tinggi Negeri Perlis kerana memberi kerjasama bagi menjayakan program pencarian bakat-bakat baru sebagai pelapis sukan angkat berat. (KK10: 3 Jun 2011 – Oleh: Alina Zaireen Ismail)


Pendidikan Aset Terpenting

Ilmu merupakan aset yang paling penting dalam menjamin kesenangan hidup di masa hadapan. Oleh itu, pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan untuk penduduk setempat. Kampung ini menyediakan sistem pendidikan mengikut tahap umur yang telah ditetapkan.
Seawal usia enam tahun, pendidikan telah diberikan kepada anak-anak di Tabika KEMAS Kampung Abi Batas Paip diikuti dengan Sekolah Kebangsaan Abi bagi pelajar yang berumur tujuh hingga 12 tahun. Seterusnya pelajar akan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan Abi.

untuk maklumat lebih lanjut sila layarihttp://telecentre.my

smk abi

abi rugby

Popular Posts